Wednesday, August 4, 2010

VANDELISME


Perkataan vandalisme berasal daripada nama sebuah puak di Eropah, iaitu vandals yang telah membinasakan kota Rom pada tahun 445 Masihi.


Definisi vandalisme adalah membuat sebarang perubahan seperi melukis, menanda, mengecat, menampal, merosakkan atau mengotorkan harta benda awam tanpa kebenaran pihak berkuasa.


Orang ramai yang melakukan perbuatan vandalisme di kawasa pentadbiran MPM boleh dikenakan di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme (Mdm) 1992 (Akta 171). Berdasarkan undang-undang tersebut, jika sabit kesalahan, pelaku vandalisme akan dikenakan denda tidak melebihi RM 1000 atau penjara tidak melebihi 6 bulan atau kedua-duanya sekali. Manakala bagi kesalahan yang berterusan, pelaku akan dikenakan denda tidak melebihi RM 100 bagi setiap hari kesalahan tersebut dilakukan.


Walaupun perbuatan vandalisme tidak memudaratkan dan membawa kerosakan yang kekal, perbuatan ini mencemarkan tempat tumpuan orang ramai. Bagaimana kalau lakaran lucah dan perkataan yang memberahikan dibaca oleh golongan muda? Ini sudah tentu akan menimbulkan imaginasi dan khayalan seks yang boleh mendorong seseorang melakukan perbuatan jenayah seperti rogol, mencabul kehormatan dan melakukan hubungan seks bebas. Selain itu, belanja yang tinggi diperlukan untuk membersihkan tempat yang telah diconteng. Semua usaha pembersihan dan pemulihan ini memerlukan tenaga yang bukannya sedikit.


Vandalisme juga boleh mencetuskan ketegangan antara kaum. Sekiranya didapati kedai orang Cina diconteng oleh remaja Melayu atau India, berkemungkinan ia akan menimbulkan konflik dan pergaduhan antara kaum. Ini akan menyukarkan lagi usaha mewujud perpaduan kaum dalam masyarakat berbilang kaum dan agama, sekali gus mengancam keselamatan dan kestabilan negara.


Pengaruh rakan sebaya boleh menyebabkan vandalisme. Golongan remaja biasanya lebih mudah meniru dan terpengaruh dengan rakan sebaya. Pengaruh rakan sebaya akan mencorakkan sikap, nilai dan tingkah laku remaja, lebih-lebih lagi remaja yang tercicir dan menghadapi masalah keluarga. Kebiasaannya, golongan remaja yang melakukan vandalisme merupakan remaja dalam kumpulan, Mereka tidak mempunyai tujuan dan apabila berkumpul timbullah pelbagai idea termasuklah menconteng harta benda awam dan merosakkannya.


Media massa mempunyai pengaruh dan kesan yang amat kuat dan sukar sekali dielakkan dewasa ini. Paparan adegan-adegan negatif dari filem-filem atau rancangan dari barat yang mempunyai unsur-unsur perlakuan ke arah vandalisme boleh mempengaruhi remaja melakukan vandalisme. Golongan remaja lazimnya mudah meniru dan mengikut hal yang dilihat di sekeliling termasuk media massa, apatah lagi tanpa bimbingan dan tunjuk ajar sewajarnya.


Remaja adalah produk sistem sesebuah masyarakat. Masyarakat yang pincang akhirnya akan melahirkan produk yang pincang.Sikap sesetengah masyarakat kini yang mementingkan soal kebendaan dan tidak ambil peduli terhadap isu-isu sosial sememangnya merumitkan masalah yang sedia wujud. Menurut kajian masalah vandalisme banyak berlaku di bandar. Golongan remaja menconteng dan merosakkan harta benda awam bukannya tidak terpelajar tetapi generasi yang dilahirkan di bandar sukar dikawal. Di kawasan bandar sesetengah penduduknya tidak ambil peduli terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Oleh itu golongan remaja merasakan diri mereka bebas untuk meneruskan gejala negatif ini tanpa menghiraukan rasa tanggungjawab terhadap harta benda awam.


Penguatkuasaan dan pelaksanaan undang-undang perlu dijalankan oleh pihak berkenaan. Di bawah Akta Kerajaan Tempatan 9 Undang-Undang Kecil Vandalisme 1991), sesiapa yang didapati merosakkan harta benda awam boleh didenda yang membabitkan RM 2,000 atau penjara tidak lebih setahun jika sabit kesalahan.Pelaksanaan undang-undang baru menetapkan pesalah-pesalah vandalisme menjalankan kerja-kerja khidmat masyarakat dan mereka juga akan menggunakan pakaian seragam pesalah vandalisme. (kerja ini dilakukan di tempat awam seperti pusat membeli-belah)Tindakan tegas perlu dikenakan kepada pesalah agar menjadi teladan kepada rakan-rakan.


Setiap anggota masyarakat perlu bersikap prihatin dan memberi perhatian kepada anak mereka agar tidak melakukan perbuatan yang salah ini dan masyarakat perlu peka terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka. Masyarakat perlu proaktif terhadap gejala vandalisme yang berlaku di kawasan mereka. Selain itu anggota masyarakat boleh memainkan peranan penting memberikan kefahaman betapa buruknya akhlak vandalisme. Pihak sekolah patut memberi nasihat dan bimbingan kepada pelajar mengenai kepentingan harta awam. Generasi muda perlu diterangkan dengan mendalam tentang tanggungjawab mereka terhadap harta benda awam. Terangkan kepada pelajar apa perasaan mereka sekiranya beg sekolah mereka diconteng atau dikoyak oleh mereka tidak bertanggungjawab Kesedaran seumpama itu akan sedikit sebanyak memberi gambaran tentang pentingnya sikap dan tanggungjawab.


Selain berfungsi sebagai media hiburan dan sumber maklumat terkini, media massa juga seharusnya ada tanggungjawab sosial kepada masyarakat. Media massa memainkan peranan dan mempunyai pengaruh kuat dari segi menanam kesedaran memperoleh kerjasama dan menyampai maklumat tentang vandalisme dalam apa bentuk rancaangan yang tersiar atau yang terdapat dalam media massa.Media massa juga berperanan membantu pihak kerajaan dari segi mengadakan kempen agar masyarakat faham dan menghayati kempen ” Harta Awam Milik Bersama” kerana dengan adanya iltizam dan komitmen daripada media massa maka kempen ini dapat direalisasikan keberkesanannya.


Kesimpulannya, masyarakat boleh memainkan peranan penting memberi kefahaman betapa buruknya akhlak mereka yang melakukan vandalisme. Misalnya, ibu bapa sebagai orang yang terdekat dengan remaja patut mendidik anak-anak dengan contoh teladan baik serta mengasihi dan meluangkan masa bersama anak-anak agar tidak timbul fenomena kebosanan dan kekosongan di hati remaja. Pihak sekolah pula boleh menerapkan kesedaran untuk membentuk remaja berjiwa sihat dan berfikiran matang sebelum melangkah ke alam dewasa.



WONG CHEE WEI     205967

No comments:

Post a Comment