Wednesday, August 4, 2010

PENDERAAN KANAK-KANAK



Isu tentang penderaan kanak-kanak telah menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan masyarakat.Sekarang kita boleh mendengar pelbagai kes penderaan kanak-kanak berlaku di sana sini yang semakin berleluasa sebagaimana yang disiarkan di dalam akhbar dan berita di televisyen. Apakah yang dimaksudkan dengan penderaan kanak-kanak?Penderaan kanak-kanak bermaksud satu dera ataupun satu perbuatan zalim yang dilakukan kepada golongan kanak-kanak .Biasanya ditakrifkan kepada mereka yang berusia kurang daripada 18 tahun.Penderaan kanak-kanak ini pula boleh dikelaskan kepada beberapa jenis seperti penderaan fizikal kanak-kanak,penderaan mental kanak-kanak dan penderaan seksual kanak-kanak.Pendera-pendera ini boleh dikategorikan sebagai tidak berhati perut kerana ada antara pendera-pendera itu ialah ibu bapa kandung kepada mangsa.


Terdapat banyak faktor atau punca berlakunya kes-kes penderaan kanak-kanak ini.Antaranya ialah tekanan pekerjaan yang dihadapi oleh ibu bapa yang bekerja.Masalah dan tekanan di tempat kerja dibawa balik ke rumah dan mereka melepaskan tekanan tersebut kepada anak-anak yang tidak berdosa.Tabiat anak-anak yang masih kecil memang suka merengek kerana mereka perlukan perhatian daripada ibu bapa.Tindakan ibu bapa yang melepaskan geram dan tekanan mereka kepada anak-anak yang merengek kerana perlukan sesuatu adalah merupakan satu tindakan yang tidak masuk akal.Ibu bapa yang tidak berfikiran matang ini mungkin akan memukul, menerajang, mencucuk putung rokok, atau sebagainya.Apalah dosa mereka sehingga diperlakukan sebegitu.


Faktor lain yang menjadi punca penderaan kanak-kanak adalah kerana masalah kewangan yang dihadapi oleh sesebuah keluarga itu.Masalah kewangan yang melanda sesebuah keluarga akan menyebabkan mereka bertindak ganas terhadap anak-anak.Jika anak-anak meminta duit belanja atau keperluan lain, sudah semestinya anak akan menjadi mangsa sepak terajang mereka.Keadaan sebegini amat menyedihkan kerana anak-anak tidak sepatutnya diperlakukan sebegitu pada usia mereka yang masih memerlukan kasih sayang dan perlindungan.Jika masalah kewangan melanda sesebuah keluarga janganlah dilepaskan kepada anak-anak dan fikirlah cara yang terbaik untuk menyelesaikan masalah.Mintalah pertolongan daripada Allah supaya hati kita menjadi tenang.


Ada juga antara ibu bapa yang mendera anak-anak mereka kerana krisis rumah tangga yang berlaku seperti pergaduhan antara suami isteri dan mungkin disebabkan gangguan pihak luar. Contohnya, suami akan menjadi lebih garang dan mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga kerana mempunyai kekasih baru.Hasilnya pergaduhan antara suami isteri sering berlaku dan anak-anak pastinya menjadi mangsa pergaduhan.


Selain itu,kurangnya pendidikan agama dalam kalangan ibu bapa juga merupakan faktor berlaku masalah penderaan kanak-kanak.Ilmu agama amat penting di dalam rumah tangga kerana ia boleh memberi panduan yang terbaik dalam menguruskan keluarga.Setiap masalah yang berlaku pasti ada penyelesaiannya jika berlandaskan kepada al-Quran dan al-Sunnah.Islam telah menerapkan sikap yang baik yang perlu dicontohi oleh setiap umatnya seperti tahap kesabaran yang tinggi terutamanya dalam melayan kerenah anak-anak.Al-Quran juga telah menjelaskan kepada kita iaitu azab yang pedih bagi sesiapa yang tidak menjaga amanahnya dengan baik seperti juga ana-anak yang merupakan amanah Allah kepada kita.



Penderaan melibatkan tiga bentuk iaitu fizikal, seksual dan emosi. Penderaan fizikal ditafsirkan sebagai keganasan yang menyebabkan kecederaan otak, lebam yang teruk, kecacatan anggota tubuh, patah tulang, lecur atau terbakar, dicucuh dengan puntung rokok dan sebagainya. Kesan kepada mangsa ialah trauma dan ketakutan melampau apabila berdepan dengan orang dewasa (fobia), luka dan cedera yang kekal, rosak saraf otak dan urat saraf (cacat seumur hidup) dan perkembangan mental menjadi lembap kerana menderita ketegangan saraf.


Penderaan seksual merujuk segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan untuk memenuhi tuntutan nafsu seks orang dewasa. Ianya melibatkan eksploitasi bahagian sulit kanak-kanak, dicabul, dirogol dan dipaksa melacur. Kesan kepada mangsa ialah luka dalam kemaluan, penyakit kelamin, mengandung, traumatik, pengkhianatan, stigma (malu, rasa bersalah) dan tidak berkuasa (untuk melawan).


Penderaan emosi, iaitu di mana gangguan yang substansial dan boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak yang didalilkan dengan, antara lain, kecelaruan mental atau tingkah laku termasuk keresahan, kemurungan, penyendirian, kelangsangan atau perkembanga lambat. Kesan ke atas mangsa berlaku secara bertahap mengikut umur seperti ponteng sekolah, tidak minat dengan pelajaran, suka mencuri, berbohong, kelihatan murung, sering mengasingkan diri dan lari dari rumah sebanyak dua kali.


Masalah penderaan kanak-kanak ini perlulah dibendung dan diatasi dengan segera.Antara cara untuk mengatasinya adalah dengan mengadakan kempen.”Keluarga Bahagia” bagi menyedarkan ibu bapa tentang tanggungjawab mereka.Semestinya setiap orang mengimpikan keluarga yang bahagia kerana keluarga adalah segala-galanya bagi kita. Tanpa keluarga tercinta hidup ini pasti tidak bermakna.Sesungguhnya kita memerlukan insan-insan tersayang di samping kita.Jadi,dengan adanya kempen ini sedikit sebanyak boleh mengelakkan daripada berlakunya kes penderaan anak-anak.


Pihak yang berkuasa juga haruslah mengambil tindakan yang lebih tegas seperti mengenakan hukuman yang berat bagi ibu bapa atau sesiapa sahaja yang mendera kanak-kanak. Hal ini demikian kerana kanak-kanak dilindungi di bawah hak kanak-kanak.Pihak berkuasa perlulah mempertingkatkan penguatkuasaan undang-undang yang boleh menyebabkan pendera-pendera berasa takut akan hukuman yang bakal mereka hadapi akibat perbuatan sendiri yang tidak berperikemanusiaan.


Pihak-pihak yang berwajib juga perlulah mengadakan kelas-kelas bimbingan bagi memberikan pendidikan keibubapaan kepada setiap pasangan yang akan mendirikan rumah tangga. Pendidikan ini amat penting kepada setiap pasangan bagi menyedarkan mereka akan tanggungjawab yang besar harus dipikul setelah berumah tangga. Mereka akan lebih jelas tentang cara-cara untuk mendidik anak-anak dan kaedah untuk melayan suami atau isteri dengan baik. Dengan itu, masalah penderaan kanak-kanak akan dapat diatasi.


Kesimpulannya, penderaan kanak-kanak merupakan perbuatan keji yang dilarang keras oleh agama. Hal ini kerana perbuatan sebegitu seolah-olah bertujuan untuk menjahanamkan aset penting negara pada masa akan datang dan memusnahkan keturunan kita sendiri. Ingatlah, anak-anak merupakan amanah Allah yang sangat suci dan bersih. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk membentuknya menjadi seorang yang baik atau sebaliknya. Jika mereka selalu diperlakukan dengan tindakan negatif semasa kecilnya, tidak mustahil mereka akan menjadi lebih ganas apabila meningkat dewasa. Jadi, sayangilah anak-anak dan jauhilah kes penderaan kanak-kanak kerana ia tidak menguntungkan mana-mana pihak malah dosa yang akan kita dapat di akhirat nanti.



AW SIEW MEI 206042

No comments:

Post a Comment