Thursday, August 12, 2010

MAT REMPIT

Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan skuter. Rempit merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Minah Rempit pula merupakan seorang pelumba perempuan, atau teman wanita Mat Rempit. Walaupun kebanyakan Mat Rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di jalan raya. Mat Rempit biasanya berkumpulan dan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu.


Mat Rempit juga telah dikaitkan dengan kegiatan gengster, rompak berkumpulan, pergaduhan, vandalisme, kecurian dan buli.Kebanyakan motosikal yang digunakan oleh Mat Rempit tidak memenuhi piawai, ataupun telah diubah suai dengan banyak.


Malah ada juga Mat Rempit yang tidak mempunyai lesen sah, tidak membayar cukai jalan dan menaiki motosikal curi. Kini, taman perumahan turut telah ditukar menjadi litar lumba oleh Mat Rempit. Dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit. Istilah Mat Rempit ini turut digunakan di Singapura dan Indonesia.

Terdapat beberapa faktor yang sering dikaitkan dengan gejala rempit ini.Salah satu faktor ialah perasaan ingin mencuba.Hal ini disebabkan desakan naluri remaja yang suka mencuba dan tidak takut kepada risiko yang bakal ditempuh, mereka berani melakukan apa sahaja. Mereka mudah berasa seronok dan ingin mencuba apa-apa yang dipaparkan oleh media.Selain itu,pengaruh rakan sebaya juga banyak memainkan peranan di dalam menentukan pemilihan aktiviti yang gemar.Remaja mudah terikut-ikut dengan apa-apa yang dilakukan oleh rakan sebaya mereka tanpa memikirkan risiko yang bakal ditempuhi.


Di samping itu,gaya hidup dan taraf pendidikan juga merupakan salah satu faktor.Hal ini disebabkan,gaya hidup remaja itu sendiri juga merupakan pendorong gejala “Mat Rempit” ini berlaku. Kebanyakkan remaja yang berpendidikan rendah yang terlibat dalam kancah gejala “Mat Rempit” ini. Pergaulan mereka hanya terdedah kepada kelompok yang sama dan memiliki pemikiran yang sama apatah lagi masing-masing memberi galakan ke arah negatif antara satu sama lain seperti cabar mencabar dan sebagainya. Keseronokan dan kepuasan merupakan tujuan utama dalam diri mereka.


Kurangnya kasih sayang dan perhatian ibu bapa turut mempengaruhi tindakan serta sikap remaja. Apabila mereka merasa bosan, mereka akan mengambil jalan mudah dengan mencari hiburan di luar rumah bersama rakan-rakan yang lain. Lebih-lebih lagi ibu bapa yang suka berleter apabila mereka berada di rumah. Hal ini membuatkan diri mereka merasa bosan dengan sikap ibu bapa tersebut.


Jika dilihat secara kasar, gejala rempit ini banyak membawa kemudaratan kepada masyarakat, bangsa dan negara. Rempit memberi impak yang besar terhadap perkembangan sosial,ekonomi serta politik negara.Golongan mat rempit ini tidak takut atau seram untuk menunjukkan kebolehan mereka di jalan raya malah mereka berasa bangga apabila menonjolkan aksi-aksi ngeri yang berbahaya dan boleh membawa maut itu di khalayak ramai. Aksi-aksi yang ditonjolkan bukan sahaja membahayakan nyawa mereka malah membahayakan nyawa pengguna-pengguna jalan raya yang lain.


Pembangunan sosial semakin terencat kerana kegiatan rempit ini mengancam ketenteraman dan ketenangan suasana malam. Banyak juga rungutan yang dapat kita dengar dari penghuni-penghuni rumah taman tentang bunyi enjin motosikal yang kuat dan mengganggu mereka beristirehat.


Namun, apa yang paling membimbangkan adalah konsep pertaruhan anak-anak gadis sebagai hadiah dalam perlawanan haram tersebut.Gadis-gadis inilah yang menjadi pertukaran dengan pihak yang memenangi perlumbaan tersebut. Justeru,langkah yang drastik dan efektif harus difikir dan dilaksanakan segera agar kes pembuangan bayi, anak luar nikah dan pelbagai penyakit pembunuh seperti AIDS dapat dielakan.


Manakala dari sudut ekonomi pula, mak rempit mensia-siakan waktu muda mereka yang sepatutnya digunakan untuk membangunkan potensi diri masing-masing.Mereka tidak berminat dan berusaha bersungguh-sungguh bagi membangunkan negara. Apa yang membimbangkan adalah sekiranya perkembangan yang tidak sihat ini semakin menjadi-jadi dan tidak terkawal, hal ini kerana rata-rata mat rempit adalah mereka yang masih dalam usia remaja. Bahkan sebahagiannya masih di bangku sekolah menengah.


Mereka masih bergantung kepada kewangan ibu bapa masing-masing. Untuk menyertai lumba haram ini mereka memerlukan wang yang banyak khususnya untuk pengubahsuaian dan membeli alat ganti motosikal, kos petrol serta wang pertaruhan. Bagi sesetengah remaja yang terlibat dengan dadah memerlukan lebih banyak wang lagi. Oleh itu, apabila mereka terdesak untuk mendapatkan duit mereka mula memeras ugut, meragut dan mencuri.Hal ini akan merugikan ekonomi negara kita.


Dari segi politik pula,generasi muda sekarang adalah merupakan tunggak pucuk pimpinan pada masa hadapan. Namun apabila berlakunya gejala seperti ini secara berleluasa masih adakah golongan yang masih mampu memimpin negara kita pada masa hadapan?


Hal ini menjadi persoalan masyarakat kita sekarang. Kita perlukan anak pemuda yang berani. Tetapi keberanian itu perlu diletakkan pada tempatnya. Kita tidak mahu mereka yang berani mempertaruhkan nyawa di atas jalan raya yang akhirnya memberikan kerugian kepada bangsa,agama dan negara kita sendiri.


Dengan demikian, virus “Mat Rempit” harus dibendung dengan segera sebelum ia menjadi penyakit yang paling parah dalam masyarakat kita. Semua pihak harus memikirkan apakah cara yang terbaik untuk mengatasi gejala sosial ini. Jika ia tidak dibendung dengan segera, ditakuti ia akan menjadi virus yang paling merbahaya di negara ini.


Terdapat beberapa cara untuk mengatasi dan membendung virus “Mat Rempit” ini daripada terus menular dalam masyarakat.Salah satu cara ialah peranan dan tanggungjawab ibu bapa.Hal ini disebabkan, ibu bapa seharusnya menyedari bahawa kasih sayang dan perhatian yang secukupnya perlu diberikan kepada anak-anak mereka agar mereka berasa diri mereka dikasihi dan dihargai. Luangkan masa bersama dengan anak-anak dan mendengar luahan dan rintihan hati mereka.


Di samping itu,penguatkuasa undang-undang dengan lebih efektif memang perlu untuk membendung virus ini.Disarankan ianya agar lebih tegas daripada undang-undang yang sedia ada. Jangan biarkan mereka berasa lali dan tidak kisah dengan hukuman yang bakal mereka terima.Selain itu,kita patut dekatilah “Mat Rempit” dengan berhemah dan hikmah. Hal ini akan menyebabkan mereka berasa diri mereka dihargai. Kata-kata motivasi dan kaunseling juga diperlukan untuk membendung virus ini. Jangan terus memberi tekanan kepada mereka. Sepertimana kita ketahui zaman remaja memang penuh dengan tekanan dan gelora. Mereka sentiasa inginkan perhatian masyarakat. Oleh itu berinteraksilah secara matang dengan mereka.


Sebagai kesimpulannya, kita jangan terlalu menyalahkan dan menunding jari kepada golongan remaja. Sebaliknya kita patutlah membantu golongan ini dengan profesional dan matang. Dekatilah mereka agar mereka merasakan diri mereka dihargai dan tidak tersisih daripada masyarakat.



SIU EE HWA     205908

2 comments: