Wednesday, August 4, 2010

BOHSIA

Bohsia ialah istilah yang merujuk kepada satu gejala sosial yang melibatkan remaja perempuan yang bergaul dengan lelaki secara bebas untuk keseronokan. Kumpulan remaja yang terlibat dengan gejala bohsia ini adalah daripada kalangan pelajar yang tidak berminat untuk belajar,kebanyakan mereka mempunyai pencapaian akademik yang rendah ataupun sudah berhenti daripada bersekolah.Di samping itu,gadis remaja yang terdedah dengan pergaulan bebas juga menyumbang kepada berlakunya kegiatan bohsia.


Terdapat beberapa faktor yang menyebabkan berlakunya gejala bohsia.Faktor pertama adalah faktor diri.Remaja mudah terpengaruh dengan unsur unsur yang tidak sihat.Remaja suka mengikut nalurinya dan mahukan kebebasan menyebabkan mereka mudah terjerumus menjadi bohsia.Kebanyakan mereka adalah remaja yang tidak mempunyai kekuatan dalaman untuk menentang pengaruh luar lantas mendorong mereka untuk terjebak dalam gejala bohsia.Selain itu,kecetekan akal kerana umur yang muda dan ditambah dengan pendidikan agama yang lemah menyebabkan mereka lebih banyak bertindak mengikut hati dan perasaan dan bukan mengikut pertimbangan akal yang waras.


Selain itu,pengaruh rakan sebaya juga merupakan salah satu faktor.Remaja mudah dipengaruh dan terikut-ikut dengan rakan sebayanya. Rakan sebaya yang negatif mempengaruhi remaja untuk bertingkahlaku bertentangan dengan tuntutan agama dan norma masyarakat.Sebagai contohnya, mereka mudah dipengaruhi oleh rakan-rakan untuk menonton video lucah, lari dari rumah, ponteng sekolah dan melepak di pusat membeli-belah. Semasa melepak bersama dengan rakan-rakan bohsia yang lain di tempat tertentu, remaja ini diperkenalkan dengan bohjan sehinggalah mereka menjadi teman tidur kepada bohjan tersebut.


Faktor lain juga boleh ditinjau dari sudut media massa.Media massa mampu memberi kesan dan mempengaruhi pemikiran generasi muda.Banyak program yang berbentuk keganasan,keruntuhan moral dan unsur unsur lain yang tidak sesuai dengan norma masyarakat banyak disiarkan.Di samping itu, video lucah dan bahan bacaan lucah juga disket lucah amat mudah didapati di dalam pasaran hari ini.Remaja terbabit dirangsang untuk mencuba apa yang telah mereka tontoni atau baca. Akhirnya, mereka terjebak ke dalam lembah maksiat.


Faktor terakhir iaitu budaya asing yang mengutamakan keseronokan, dan mengamalkan seks bebas dan bersekedudukan telah mempengaruhi remaja terbabit untuk terlibat dalam gejala bohsia.Mereka sanggup lari dari rumah atau memperdayakan ibu bapa dengan alasan-alasan tertentu supaya dapat bersama berseronok dengan rakan-rakan.


Gejala bohsia telah mendatangkan banyak kesan negatif.Antaranya ialah kelahiran bayi luar nikah.Akibat
daripada aktiviti seks bebas yang dilakukan oleh golongan bohsia ini, mereka mungkin akan menghamilkan anak luar nikah. Justeru bagi mengelakkan daripada diketahui umum mereka akan mengambil jalan mudah dengan menggugurkan kandungan tersebut.Pada zaman ini,kita dikejutkan bahawa terdapat ramai di antara mereka yang berusia remaja menjalankan proses menggugurkan kandungan.Kebanyakan adalah mereka yang terlibat dengan aktiviti bohsia ini

.
Selain itu,kes pembuangan bayi juga semakin bertambah.Kehidupan seks bebas akan menyebabkan kelahiran bayi yang mungkin tidak diingini oleh ibu bapa mereka. Kegiatan bohsia merupakan salah satu pencetus kepada pembuangan bayi dan menyebabkan pembuangan bayi menjadi begitu kritikal sejak akhir-akhir ini.Hal ini disebabkan mereka tidak sanggup diejek dan dicaci oleh masyarakat.Oleh itu,mereka sanggup membuang bayi mereka untuk menyembunyikan perbuatan maksiat mereka.


Di samping itu,golongan bohsia mudah terjebak kepada gejala pelacuran.Golongan bohsia ini apabila mereka telah sebati dengan kehidupan mereka selama ini, mereka akan pula memasuki kancah pelacuran yang boleh dijadikan sebagai sumber pendapatan mereka. Hal ini kerana, majoriti di kalangan bohsia ini mempunyai pencapaian akademik yang rendah. Oleh itu,adalah sukar untuk mereka mendapat peluang pekerjaan yang dapat memberikan mereka hasil lumayan. Jadi mereka akan tertarik dengan aktiviti pelacuran yang lebih teruk lagi.


Masyarakat juga mudah terdedah kepada penyakit.Ini adalah kerana gadis bohsia yang melakukan seks rambang memudahkan merebaknya penyakit kelamin dan remaja lelaki juga akan menghidap penyakit kelamin disebabkan sering bertukar-tukar pasangan dengan gadis bohsia yang lain. Selain itu,gadis bohsia juga berkemungkinan berdepan dengan penyakit barah pangkal rahim kerana kegemaran bertukar-tukar pasangan seks


Terdapat pelbagai cara untuk mengatasi kegiatan bohsia. Remaja berperanan dalam mengatasi gejala bohsia ini. Para remaja hendaklah memikirkan tentang diri dan masa depan hidup mereka.Mereka haruslah menanamkan pendidikan agama dan moral dalam diri mereka agar tahap kemantapan minda mereka berjalan seiring dngan perubahan masa,suasana dan tempat.Pendidikan agama dan moral penting supaya remaja tidak mudah terpengaruh dengan suasana sekeliling dan akan lebih berhati-hati dalam mengorak langkah kehidupan mereka.Apabila mereka tergelincir daripada batas-batas keagamaan ,mereka cepat sedar kerana didikan agama dapat menjadi perisai dalam diri remaja untuk menjauhi perkara yang dilarang.


Selain itu,peranan sahabat, keluarga dan masyarakat juga penting dalam menanggani gejala bohsia.Mereka haruslah sentiasa meluangkan masa menemani remaja bohsia seperti berkomunikasi dengan mereka,beri perhatian kepada mereka,bertanyakan masalah yang mereka hadapi serta menasihati mereka dengan cara psikologi,lemah lembut dan mencari jalan penyelesaian kepada mereka.Dengan ini, remaja bohsia akan merasa diri mereka dihargai kerana sahabat,keluarga dan masyarakat mengambil berat tentang mereka.Mereka akan bersemangat untuk merubah corak kehidupan yang sedia ada ke arah yang lebih baik.Sahaabat,keluarga dan masyarakat haruslah membantu remaja bohsia daripada terus hanyut dalam arus kemaksiatan.Di samping itu,haruslah menanamkan keyakinan kepada remaja bohsia bahawa mereka masih muda dan mempunyai peluang untuk membina peribadi yang unggul.


Akhirnya ialah peranan kerajaan.Kerajaan haruslah mengenakan tindakan undang-undang seperti Akta Perlindungan Gadis dan Wanita,Akta social dan sebagainya.Akta Perlindungan Gadis dan Wanita perlu dikenakan kepada gadis remaja bawah umur yang terbabit dalam kegiatan maksiat.Di samping itu,Akta sosial juga mestilah dikenakan kepada unsur atau subjek yang banyak mempengaruhi remaja menjadi bohsia.


Kesimpulannya,remaja adalah tunggak kepada negara.Oleh itu,masyarakat perlulah mendidik anak-anak mereka dengan baik agar mereka tidak terjerumus ke dalam kegiatan maksiat apabila mereka dewasa nanti.



TAN AI LI     205946

No comments:

Post a Comment