Dadah adalah satu masalah social paling rumit yang sedang dihadapi oleh Negara di dunia. Masalah ini telah menjejaskan keadaan ekonomi, politik dan juga sosial beberapa buah negara yang terlibat terutama negara-negara yang sedang membangun. Dadah adalah bahan atau kimia yang amat merbahaya kepada individu yang menggunakannya kerana apabila dimasukkan ke dalam tubuh, ia boleh mengubah keadaan badan, perasaan dan kelakuan pengguna. Dadah dapat digunakan dengan cara suntikan, hidu, hisap atau makan. Dadah adalah racun yang boleh menyebabkan penagihan dan penyakit. Menggunakannya yang berterusan mendatangkan kerosakkan kepada diri, keluarga, masyarakat dan negara.
Sejak bermulanya era globalisasi ini, banyak isu telah dibangkitkan termasuk gejala pengambilan dadah dalam golongan remaja di negara kita. Gejala ini semakin berleluasa dan menjadi semakin sukar untuk ditangani. Selama ini, penagihan najis dadah jelas membuktikan bahawa bahan ini boleh memusnakan kehidupan seseorang. Musibah yang melanda golongan ini turut dijadikan iktibar kepada para remaja oleh ibu bapa, namun usaha-usaha tersebut umpama mencurahkan air ke daun keladi.
Faktor utama yang menyebabkan masalah ini adalah kerana remaja mudah terpengaruh dengan persekitaran, luaran dan media massa. Remaja yang masih lagi cuba untuk mengenali pelbagai aktiviti atau budaya baru tidak tahu membezakan antara gejala yang negatif atau positif. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas. Kebanyakan masa remaja diluangkan bersama dengan rakan sebaya mereka. Hal ini menyebabkan mereka mudah terikut-ikut dengan kata dan arahan rakan-rakan tanpa menyedari kesan buruknya.
Selain daripada itu, kekurangan kasih sayang dan perhatian daripada ibubapa juga akan menyebabkan remaja terjebak dengan aktiviti negatif kerana tingkah laku anak-anak tidak diperhatikan dan mereka akan lebih mempercayai individu lain yang sentiasa bersama mereka daripada ibu bapanya walaupun individu tersebut tiada niat yang baik. Para ibu bapa sentiasa sibuk mencari nafkah bagi menampung kehidupan keluarga akan menyebabkan masa yang sepatutnya diluangkan bersama anak-anak menjadi terhad. Hal ini juga akan mengakibatkan remaja menikmati kebebasan yang keterlaluan kerana kegiatan mereka tidak lagi diambil tahu oleh ibu bapa. Lama-kelamaan, kebebasan yang dikecapi akan membawa mereka ke lembah penagihan dadah.
Tekanan yang dialami oleh remaja pada hari ini turut menjadi salah satu faktor kewujudan masalah ini. Kini, remaja bukan hanya berhadapan dengan cabaran untuk belajar di sekolah semata-mata. Harapan yang tinggi oleh ibu bapa agar mereka mencapai prestasi yang cemerlang dalam pelajaran telah menjadi suatu tekanan yang hebat kepada remaja. Selain menghadiri kelas di sekolah, mereka terpaksa menghadiri kelas-kelas yang lain seperti kelas tuisyen, muzik, tarian dan sebagainya bagi memenuhi kehendak ibu bapa. Tekanan ini akan mendorong mereka mengambil dadah kerana kononya ingin mencari ketenangan jiwa. Mereka berpendapat bahawa pengambilan dadah dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi oleh mereka.
Langkah-langkah yang perlu dilakukan untuk mengatasi gejala dadah ini ialah dengan memberi pendidikan mengenai bahaya dadah. Peranan pihak sekolah turut dapat mengatasi masalah ini yang merebak seperti virus epidemik di kalangan murid-murid. Pihak sekolah boleh mengadakan aktiviti-aktiviti yang boleh mendatangkan kemaslahatan kepada murid-murid. Sebagai contoh, pihak sekolah boleh mengadakan ceramah mengenai bahaya dadah dengan menjemput pengawai polis di bahagian nakotik untuk menerang dan menceritakan tentang kes-kes dadah yang telah berlaku di negara ini. Melalui cara ini, murid-murid dapat menghindarkan diri mereka daripada perkara yang boleh membawa impak negatif dalam diri mereka. Oleh hal yang sedemikian, pihak sekolah hendaklah memainkan peranan yang penting bagi mengatasi masalah ini yang boleh menjejaskan imej sesebuah sekolah.
Kempen kesedaran juga perlu diadakan dari masa ke masa oleh pihak kerajaan. Pihak kerajaan perlu bertanggungjawab untuk membanteras gejala ini. Pihak kerajaan boleh mengadakan kempen anti-dadah dan bahaya penggunaan dadah. Pelbagai aktiviti hendaklah diadakan semasa kempen ini berlangsung dan aktiviti itu hendaklah melibatkan kumpulan remaja yang sering menjadi sasaran mudah para penjual dadah. Pihak kerajaan boleh menampal poster-poster mengenai bahaya dadah di tempat awam seperti pusat beli-belah, hospital, dewan rakyat dan sebagainya. Risalah-risalah berkaitan dadah juga dapat diedarkan di di sekolah, kawasan dan tempat awam supaya rakyat dapat menyedari bahawa bahaya dadah.
Di samping itu, Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.
Kesimpulannya, kita harus bertekad dengan keazaman yang tinggi untuk memerangi dadah. Penyalahgunaan dadah berpunca dari banyak faktor tetapi terdapat banyak cara untuk mengatasinya. Kita harus berusaha dan bekerjasama bagi membanteras gejala ini agar tidak membawa akibat yang lebih buruk. Sekiranya terdapat komitmen yang tinggi dan berterusan untuk mengatasi masalah ini, masalah penagihan najis dadah pasti dapat dibendung dengan jayanya.
SIAU SEY FONG 206039
No comments:
Post a Comment